Archive for the ‘Dadah’ Category

Resipi baru ganti dadah

Februari 18, 2008

MELAKA: Dengan berbelanja tidak sampai RM15 sehari, segelintir penagih dadah di negeri ini mampu membuat resipi baru dengan mencampurkan pil psikotropik, pil selesema dan ubat batuk yang mudah dibeli di farmasi atau klinik bagi mendapatkan kesan khayal yang sama dengan pengambilan heroin atau ganja.

Campuran itu yang juga dinamakan ‘cocktail cam’ dikatakan menjadi kegilaan golongan ‘Mat Pit’ terbabit berikutan mereka mudah mendapatkan bahan berkenaan.

Campuran itu juga boleh dijadikan bahan untuk disuntik ke badan bagi mendapat kesan khayal yang lebih tinggi.

Bahan campuran itu mampu merangsang keseronokan lebih panjang dan menjadi pilihan sebagai ganti kepada heroin dan ganja.

Perkara ini didedahkan Pengerusi Persatuan Alumni Agensi Anti Dadah Kebangsaan (Pendamai) negeri, Amer Mokhtar Jantan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada beberapa penagih yang ditemuinya.

Menurutnya, resipi baru itu mula diperkenalkan beberapa bulan lalu selepas ternyata mampu memberi kesan khayal yang lebih baik berbanding heroin dan ganja yang kini sukar diperoleh.

Katanya, sikap penagih dadah yang suka mencuba membuat sesuatu mendorong mereka menemui pelbagai bahan rangsangan baru.

“Mereka (penagih) menyalahgunakan ‘cocktail cam’ yang dicampur dengan ubat batuk untuk diminum ataupun melarutkannya dalam air dan disuntik pada badan.

“Wujud permintaan dan penjualan secara terbuka bahan campuran ‘cocktail cam’ oleh klinik dan farmasi tempatan mendorong wujudnya penagih membuat adunan itu,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Amer berkata, penagih sentiasa mencari ‘nikmat’ khayal berbeza dan ini mendorong mereka mencuba pelbagai ‘eksperimen’ dan apabila hasil itu dianggap berkesan, mereka akan menghebahkan perkara itu kepada rakan lain.

Katanya, banyak masalah timbul di kalangan penagih yang mengambil coktail cam antaranya perubahan sikap lebih buruk berbanding ganja atau heroin.

“Mereka menjadi terlalu sensitif dan mudah panas baran.

“Bila jadi seperti ini, ada pengambil coktail cam yang bertindak luar batasan dengan memukul orang dikenali serta mengamuk.

“Ini menimbul masalah perhubungan dengan keluarga dan masyarakat.

“Lebih membahaya bila ada antara mereka memandu kenderaan dan berisiko menyebab berlaku kemalangan,” katanya.

Petikan Harian Metro 14/02/08


Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.