Archive for the ‘Utusan’ Category

Kenali subbudaya penagih

Februari 18, 2008

18 Februari 2008

Oleh MOHD. YUNUS PATHI MOHD.
PENAGIHAN dadah dewasa ini telah mengancam keselamatan negara apabila terdapat begitu ramai anak muda yang bakal mewarisi negara terjebak dan terjerumus dalam kegiatan negatif ini. Senario ini dapat kita lihat di serata tempat, tidak kira di bandar raya, pekan kecil, di desa dan kampung semuanya wujud masalah penagihan dadah.

Bahkan ia turut menjangkiti golongan profesional yang berkelulusan tinggi. Jelaslah dadah tidak mengenal sesiapa, ia akan terus merebak dan berleluasa. Lantaran begitu rumitnya masalah penagihan dadah yang wujud sekarang ini, maka pihak-pihak tertentu memikirkan cara untuk mencegah, membendung, merawat dan memulihkan penagih dadah.

Pelbagai usaha, aktiviti dan program dilaksanakan untuk menghapuskan masalah penagihan di negara kita ini. Saban tahun belanja untuk pemulihan penagih ditambah tetapi saban tahun juga bilangan penagih turut bertambah.

Di mana silapnya? Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa tetapi kita seharusnya duduk bersama berbincang dan mencari punca dan bagaimana mencegahnya. Satu persoalan yang perlu diberi perhatian ialah kesukaran penagih untuk memulihkan ketagihan mereka.

Masyarakat umumnya berpendapat penagih dadah tidak dapat dipulihkan dan dirawat, buktinya banyak penagih yang telah mendapat rawatan dan pemulihan kembali menagih selepas tamat program. Masalahnya bukan program rawatan yang tidak berjaya dan tidak berkesan. Ia sebenarnya terletak pada diri individu itu sendiri untuk membuat keputusan mahu berubah atau tidak.

Sekiranya seseorang penagih dadah itu mengambil keputusan untuk berhenti mengambil dadah, tanpa menjalani rawatan pemulihan sebenarnya ia boleh pulih. Namun hakikatnya seseorang penagih dadah yang mahu berhenti mengguna dadah amat sukar untuk membuang subbudaya penagihan yang telah mereka lalui.

Subbudaya penagihan bermaksud kehidupan seseorang penagih di alam penagihan. Berdasarkan definisi yang dikemukakan oleh Mardi G. (2004), budaya penagihan ialah budaya yang terkeluar dari norma-norma dalam rangkaian sosial sesebuah kumpulan masyarakat. Lebih jelas lagi budaya penagihan ini ialah budaya yang menyimpang dan melanggar tatasusila masyarakat.

Menurut George De Leon (1997), pelanggaran ataupun salah laku yang sering dilakukan oleh penagih dadah adalah seperti penipuan, memperdaya orang lain, kebergantungan kepada orang lain dan pemalas. Apabila mereka berada dalam subbudaya penagihan, mereka hanya komited untuk mendapatkan dadah. Dalam soal ini penagih dadah ini sanggup melakukan apa sahaja dan tidak mempunyai arah tuju.

Dalam subbudaya ini setiap penagih dadah boleh dikatakan akan mengalami phobia traumatic kerana mereka pernah ditangkap polis, dipukul, dibelasah beramai-ramai dan sebagainya.

Apabila seseorang itu berada dalam subbudaya penagihan, mereka tidak mampu untuk mencari jalan keluar kerana mereka hidup dalam kelompok sendiri iaitu di kalangan penagih.

Penagih-penagih ini perlu diberi pemulihan yang berkesan supaya mereka mendapat satu kehidupan baru dan berfungsi sebagai manusia yang normal.

Dalam merawat dan memulihkan penagih dadah, perkara yang perlu diberi perhatian ialah pemecahan subbudaya penagihan yang ada pada diri mereka. Pemecahan subbudaya penagihan ini bermaksud membuang sikap dan tingkah laku negatif yang selalu mereka lakukan semasa di alam penagihan.

Untuk melakukan pemecahan subbudaya penagihan terdapat empat struktur utama yang perlu diberi perhatian iaitu sikap, emosi, pemikiran dan kemahiran vokasional.

Setiap unsur ini merupakan kunci utama bagi pemulihan sepenuhnya seseorang penagih dadah. Dalam aspek memecahkan subbudaya seseorang penagih kita perlu melihat kepada profil penagihan yang mengandungi pelbagai perilaku negatif. Perilaku-perilaku seumpama inilah yang mesti dibuang untuk memastikan rawatan pemulihan berjaya.

Pemecahan subbudaya penagihan ini pula berjalan dalam satu kelompok komuniti yang mengalami masalah yang sama dan mendesak untuk melakukan perubahan serta berhenti menggunakan dadah.

Contohnya di Rumah Pengasih wujudnya satu mekanisme yang disebut sebagai penghuni merawat penghuni.

Ia bermaksud mereka yang terlibat dengan masalah penagihan dadah akan saling bantu-membantu semasa dalam proses pemulihan dan mengamalkan konsep kekeluargaan.

Penagih yang menjalani rawatan pemulihan perlu diletakkan dalam sebuah komuniti yang berkonsepkan kekeluargaan. Konsep kekeluargaan ini penting kerana kebanyakan penagih dadah menghadapi masalah kehilangan kasih sayang daripada ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa, adik-beradik, suami atau isteri serta waris-waris terdekat. Kekuatan kasih sayang dan tanggungjawab terhadap bekas penagih dalam pemulihan dapat menyedar dan mengubah tingkah laku bekas penagih dadah ini.

Kita perlu menoleh ke belakang dan mencari punca sebenar penagih terjebak dengan dadah dan perlu memecahkan subbudaya yang dibawa oleh penagih-penagih.

Faktor pengaruh rakan sebaya memang telah diketahui umum merupakan penyebab utama seseorang individu terlibat dalam penagihan dadah. Oleh itu, dalam usaha memecahkan subbudaya penagihan faktor rakan sebaya adalah sangat penting untuk mendesak penagih dadah berubah.

Dari segi penerimaan, penagih dadah akan lebih bersikap terbuka untuk menerima teguran, ajakan dan nasihat rakan sebaya. Begitu juga Terapi Terapeutik Komuniti penggunaan faktor rakan sebaya merupakan alat yang paling berkesan dalam rawatan pemulihan penagihan.

Dengan kata lain rakan-rakan sebaya akan menjadi cermin kepada penagih itu untuk membetulkan tingkah lakunya. Jika tiada rakan yang menegur, besar kemungkinan seseorang itu tidak mengetahui bahawa perbuatan itu menjadi kesalahan.

Manakala dari segi aspek pemikiran, emosi dan kepercayaan, penagih dadah juga perlu dirawat, ini kerana penagih mempunyai emosi yang sensitif dan sub-budaya penagihan telah membentuk kepercayaan yang negatif. Penagih dadah akan merasakan dirinya unik dan berbeza daripada orang lain, menganggap semua yang dilakukannya adalah betul, seorang yang berani mencuba dan pelbagai lagi kepercayaan yang negatif.

Pemikiran dan kepercayaan yang negatif penagih dadah akan mempengaruhi tingkah laku, emosi, dari segi fizikal dan mentaliti.

Selain itu, pengawalan emosi juga turut dilakukan melalui pembentukan beberapa kumpulan yang akan berperanan untuk mereka melepaskan perasaan seperti marah, kecewa dan tidak puas hati.

Setelah itu penagih dadah yang menjalani sesi ini akan mendapat satu pengalaman cara untuk seimbangkan tekanan dan kasih sayang bagi membentuk satu emosi yang positif.

Untuk mengubah pemikiran negatif kepada pemikiran yang positif seseorang penagih dadah perlu mempunyai kepercayaan bahawa rawatan yang dijalani sekarang ini mampu untuk membentuk sahsiah diri serta mampu untuk membuang subbudaya seorang penagih dadah yang sekian lama dibawa.

Satu lagi rawatan yang perlu dalam merawat dan memulihkan penagih dadah ialah kemahiran vokasional. Dalam Terapi Terapeutik Komuniti sangat menekankan latihan kemahiran dan pendidikan, untuk perubahan terapeutik dan untuk meningkatkan komuniti sebaya. Semua ini adalah penting dalam proses menuju matlamat pemulihan bagi persediaan individu untuk masa depan.

Kita tahu bahawa penagih dadah mempunyai tingkah laku yang negatif tetapi kita tidak memahaminya dan tidak pernah merasainya.

Jadi aspek paling utama dalam memastikan proses rawatan dan pemulihan penagih dadah mencapai kejayaan ialah perlu adanya role model. Sebagai contohnya staf-staf di Rumah Pengasih adalah terdiri daripada bekas penagih yang telah berjaya dan pulih daripada ketagihan dadah serta golongan profesional dan bertaraf pendidikan tinggi. Mereka ini bagaikan cermin diri untuk penghuni di Rumah Pengasih dan mempamerkan teladan positif seperti tingkah laku, sikap, perwatakan dan sebagainya dan akhirnya menjadi ikutan penagih yang masih berada dalam proses rawatan pemulihan.

Sekiranya apa yang diperbincangkan ini betul-betul diamalkan dan dilaksanakan tidak mustahil kita dapat mengurangkan jumlah penagih dadah yang kian meningkat di negara ini. Namun kita harus sedar banyak aspek yang perlu dilihat untuk memulihkan dan merawat penagih-penagih dadah, tapi hakikatnya pulih daripada dadah terletak pada diri individu penagih itu sendiri sama ada mahu melakukan perubahan ataupun tidak.

* MOHD. YUNUS PATHI MOHD. ialah Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia.

Anggota polis cedera ditembak pengedar dadah

Februari 18, 2008

RANTAU PANJANG 17 Feb. – Seorang anggota polis nyaris maut apabila ditembak di kepala oleh seorang lelaki dipercayai pengedar dadah selepas bergelut di sebuah restoran, Taman Rekreasi Tengku Anis dekat sini malam ini.

Anggota polis itu, Lans Koperal Muhammad Hairi Yusuf, 28, bagaimanapun bernasib baik selepas tembakan tersebut tersasar dan hanya kena tepi kepalanya dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 malam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, semasa kejadian mangsa bersama sembilan anggota termasuk dua pegawai dari Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menyertai operasi menahan dua lelaki dipercayai pengedar dadah yang paling dikehendaki.

‘‘Berdasarkan maklumat daripada orang awam, kita berjaya mengesan kedua-dua lelaki warga tempatan yang berusia sekitar 30-an itu ketika mereka berdua berada di restoran tersebut.

‘‘Bagaimanapun semasa anggota polis mendekati kedua-dua lelaki ini, mereka cuba melarikan diri.

Berlaku pergelutan sehingga menyebabkan seorang daripada suspek melepaskan tembakan rambang dan terkena pada mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini malam ini.

Abdul Rahim berkata, salah seorang daripada lelaki terbabit berjaya melarikan dengan sebuah kereta, manakala rakannya berjaya ditahan.

Katanya, hasil siasatan mendapati kedua-dua lelaki tersebut bergiat aktif di sekitar negeri ini.

‘‘Polis berjaya merampas sebilah pisau daripada mangsa dan kita percaya rakan suspek yang berjaya melarikan diri itu akan bertindak ganas sekiranya terdesak.

‘‘Serentak dengan itu, kita menjalankan operasi besar-besaran untuk mengesan suspek termasuk di pintu-pintu sempadan selain meminta bantuan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri berhampiran dan tentera,” katanya.

Tambahnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk menerima rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil.

Orang ramai yang melihat kejadian tersebut atau mengenali suspek diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas 09-7908222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Petikan Utusan 18/02/08